Para Pelakon
Shukri Yahaya, Nad Zainal, Amar Asyraf, Fazlina Ahmad Daud, Arash Mohd, Silfeny Osman, Dayang Areeda, Khalida Balqis, Aida Khalida, Zoey Rahman, Ummar Dzariff, Aishah Atan.Sinopsis Drama Di Hujung Ranting
Di Hujung Ranting memaparkan konflik perhubungan kekeluargaan dan percintaan apabila Amar (Shukri Yahaya) jatuh cinta pada Mawardah (Nad Zainal), namun dipendam. Abang Amar, Hakim (Amar Asyraf) pula bercerai dengan Fatin (Dayang Areeda).Semasa dalam idah, ibu Hakim iaitu Datin Fatimah (Fazlina Ahmad Daud) mengahwinkan Hakim dengan Mawardah.
Malangnya, Fatin yang licik, berjaya menggoda Hakim dan mereka rujuk kembali. Akhirnya, Mawardah menjadi isteri kedua yang diabaikan kerana Fatin menjadi dalang penderitaan Mawardah.
Hanya Amar yang sentiasa menyokong Mawardah.
Info lain
Drama Di Hujung Ranting terbitan A Aida Production Sdn Bhd dikatakan sebuah lagi karya yang bakal mencipta fenomena apabila ditayangkan di saluran RTM.
Drama adaptasi daripada dua siri novel yang menggunakan judul sama itu adalah karya Indah Khairani dan digarap semula oleh penulis skrip terkenal, Wan Mahani Wan Hassan.
Lebih menarik, drama 30 episod itu sekali lagi menyaksikan kerjasama A Aida Production dengan pengarah berkaliber, Along Kamaludin yang diakui hasil kerjanya mementingkan kualiti.
Sesuai dengan jalan cerita dan naskhah itu, Along mengakui bertuah apabila dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang tahu serta faham kehendak watak masing-masing.
Pelakon terbabit antaranya Nad Zainal, Amar Asyraf, Shukri Yahaya, Dayang Areeda, Arash Mohamad, Fazlina Ahmad Daud dan Aida Khalida.
“Mudah berlakon dengan mereka, tapi saya perlu ‘guide’ juga supaya tak lebih atau terkurang. Dalam erti kata lain, tak nak mereka tersasar jauh.
“Kadang-kadang kita nampak okey, tapi sebenarnya apabila bercakap mengenai watak, pengarah kena ‘guide’. Kalau boleh, saya tak nak mereka stereotaip. Jadi, di sini peranan saya sebagai pengarah.
“Cuma, apabila bercakap soal bekerja, mereka sangat ‘memberi’. Mereka sudah tahu dan faham kehendak skrip dan watak. Mereka tak menyusahkan, berdisiplin dan tidak perlu diajar,” katanya.
Selain mendapat naskhah menarik, Along juga cukup bertuah apabila karya itu bakal ditayangkan di slot terbaik dan perlu bersaing dengan drama daripada stesen TV lain juga pada slot pilihan ramai.
“Saya berasakan ada kelebihan dan tekanan. Kelebihan apabila cerita ini menarik, skrip bagus dan tak perlu pening untuk diperbetulkan.
“Pada masa sama, tekanan juga kerana sebelum ini sudah pernah buat cerita bagus, jadi saya kena hasilkan yang lebih bagus. Momentum kerja kena meningkat,” katanya.
Bagi Amar, bekerjasama dengan Along dan berlakon dengan pelakon hebat lain sedikit sebanyak memudahkan proses penggambaran.
“Sejujurnya, mudah bekerja dengan mereka. Setiap hari semua babak dapat dihabiskan dengan lebih awal. Sebab masing-masing sudah faham watak dan buat kerja rumah. Kiranya, semua profesional dan tak main-main.
“Mungkin itu bezanya bekerja dengan orang lama dan baharu. Sangat ketara,” katanya.
Namun, Amar tetap menerima dengan terbuka teguran dan tunjuk ajar daripada pengarah.
“Abang Along akan terangkan setiap babak iaitu sebelum memulakan penggambaran. Saya menjangka proses ini akan lambat, tapi tidak sebab semua faham dan dapat apa yang diinginkan.
“Memang tak banyak ‘take’. Kebanyakannya satu ‘take’ saja. Sebab itu dapat balik awal. Kalau sehari buat 20 babak pun, tak pernah sampai lewat malam,” katanya.
Sementara itu, Fazlina berkata, dia mempersiapkan diri dengan pemahaman watak sebelum memulakan penggambaran.
“Ini kerjasama kedua dengan Along. Nak berlakon di bawah arahannya senang saja iaitu kena ada persiapan dan faham watak. Tidak kisah orang lama atau baharu, ini perkara yang perlu dititikberatkan.
“Kalau tak faham juga, jangan malu bertanya. Sebab, pengarah tahu apa yang diinginkan daripada pelakon, jadi kena rajin bertanya.
“Macam saya pun, kalau tak betul, Along akan tegur. Saya tak ada masalah dan okey saja sebab nak berikan yang terbaik,” katanya.
Bagi Arash yang melakonkan watak Datuk Hashim, dia tidak kisah berlakon dengan sesiapa pun.
“Saya okey saja dengan mana-mana pengarah dan pelakon. Apa yang penting, ketika di lokasi kena faham dan fokus dengan watak. Jangan masuk set, tapi ‘blur’ dan tak tahu nak buat apa.
“Ia tak adil buat pelakon lain yang sudah bersedia lebih awal. Bukan nak cakap bagus, tapi saya sudah dididik sejak dulu. Baca skrip dan fahamkan watak serta babak.
“Dalam lakonan, bagus macam mana pun pelakon itu, tapi jika gandingannya tidak fokus serta tak tahu buat apa, hasilnya akan mati sebab tidak saling memberi,” katanya. - HMetro