Dalam acara yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam itu, mereka menewaskan tiga pasangan lain iaitu Adam dan Nadia, Erul dan Sarah serta Hafeez dan Naufa.
Selain membawa pulang wang tunai RM50,000, Naqi dan Ayuni masing-masing menerima trofi, telefon bimbit Huawei Nova 4, bekalan setahun tanpa had produk Rexona dan minuman McCafe secara percuma selama setahun serta barangan ekslusif McCafe.
Berkongsi perkara itu, Naqi dan Ayuni berkata, walaupun sejak episod pertama lagi mereka sudah kelihatan serasi, masing-masing tidak meletakkan sebarang harapan untuk menjadi juara.
“Kami menyertai program ini sekadar mencuba nasib sahaja dan berusaha memberikan yang terbaik. Tak sangka dipilih sebagai juara,” kata Naqi.
Ayuni pula berkata, dia menyertai program itu bagi mencabar diri dan tidak sangka mendapat pasangan yang serasi serta menjadi juara.
“Memang tidak sangka kerana saya menyertai program ini bukanlah untuk menjadi pemenang tetapi lebih kepada hendak mencari pengalaman,” katanya.
Pasangan itu mempertaruhkan lagu Saat Bahagia nyanyian asal Ippo Hafiz dan Jika Kau Tiada (Erra Fazira & Yusry).
Sementara itu naib juara dimenangi oleh Adam dan Nadia, tempat ketiga Hafeez dan Naufa serta keempat dimenangi oleh Erul dan Sarah di mana masing-masing membawa pulang trofi dan barangan ekslusif McCafe.
Program akhir yang disiarkan secara langsung di TV3 itu mula ditayangkan di laman YouTube TV3 sejak 19 April lalu.
Pada pertandingan akhir, markah undian sebanyak 60 peratus diberikan oleh juri profesional, 20 peratus undian juri awam di studio dan 20 peratus lagi undian penonton menerusi laman web rasmi www.xtra.com.my/lagucintakita.
Program dihoskan oleh Nana Mahazan dan juri profesional terdiri daripada Scha Alyahya dan Hael Husaini manakala juri jemputan ialah Syafiq Kyle.