- Olahragawan Kebangsaan
Rafiq Ismail - Boling - Olahragawati Kebangsaan
Amy Kwan - Gimnastik berirama - Olahragawan Paralimpik
Ridzuan Puzi - Olahraga para - Olahragawati Paralimpik
Siti Norr Iasah Ariffin - olahraga para - Jurulatih Lelaki Kebangsaan
Holloway Cheah - Boling - Pasukan Lelaki Kebangsaan
Tenpin boling: Adrian Ang, Tun Ameerul Luqman Al Hakeem - Pasukan Wanita Kebangsaan
Terjun: Cheong Jun Hoong, Pandelela Rinong - Anugerah Kepimpinan Sukan
Dr. S Radha Krishnan (Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia)
Datauk Sieh Kok Chi - Anugerah Khas
Hanifah Yoong Abdullah - Ski Air
Datuk Rahim Razali
Walaupuan sebelum ini telah lima kali sekadar disenarai pendek, jaguh tenpin boling negara Muhammad Rafiq Ismail akhirnya dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018, malam ini.
Lebih manis, susulan kejayaan itu, Muhammad Rafiq muncul pemain boling lelaki ketiga diberikan pengiktirafan sedemikian selepas kali terakhir atlet sukan boling diangkat sebagai Olahragawan pada 1984 menerusi, Michael Chuah.
Kali pertama pemain boling lelaki meraih gelaran Olahragawan negara adalah pada 1979 menerusi Khoo Boon Jin.
Muhammad Rafiq, 22, dipilih menerima anugerah berprestij itu selepas mencipta beberapa kejayaan sepanjang 2018 termasuk menakluk dunia pada Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong, sekali gus menjadi pemain Malaysia pertama meraih kejayaan tersebut dalam tempoh 39 tahun.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu turut mencipta kejayaan membanggakan pada penampilannya di Sukan Asia Jakarta-Palembang apabila menyumbang pingat emas dalam acara Masters lelaki.
Muhammad Rafiq menewaskan empat calon lain, jaguh berbasikal trek Mohd Azizulhasni Awang, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (skuasy), Mohd Syarul Azman Mahen (bina badan) dan Mohd Fauzi Kaman Shah (pelayaran).
Dalam pada itu, kejutan dilakukan ketika penampilan pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia menyaksikan atlet gimrama negara, Amy Kwan Dict Weng dipilih selaku Olahragawati Kebangsaan.
Pemenang Anugerah Olympian Terbaik 2018 itu, menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara dalam acara individu riben dan membantu acara berpasukan meraih pingat perak.
Gimnas berusia 24 tahun itu turut menyumbang dua pingat gangsa dalam acara individu gelung dan individu keseluruhan.
Amy Kwan mengetepikan empat lagi calon pilihan, Siti Zalina Ahmad (boling padang), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (boling), S. Sivasangari (skuasy) dan Tan Li Lian (bina badan).
Muhammad Rafiq dan Amy Kwan masing-masing menerima trofi, blazer dan wang tunai RM20,000 serta dua tiket penerbangan ke destinasi di Australia tajaan Malaysia Airlines.
Majlis gilang gemilang itu diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sementara itu, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Siti Noor Iasah Mohd Ariffin, sekali lagi dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2018, selepas masing-masing kali terakhir memenanginya pada 2015 dan 2014.
Mohamad Ridzuan yang lebih mesra dengan panggilan Dik Wan, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama negara dinobatkan selaku Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018.
Pemenang pingat emas acara 100 meter Sukan Paralimpik Rio 2016 itu mencuri tumpuan selepas beraksi cemerlang ketika Sukan Para Asia di Jakarta, Oktober 2018.
Atlet berusia 32 tahun itu mencipta sejarah di Indonesia dengan mencatat rekod dunia acara 100m lelaki T36, dan rekod Sukan Asia bagi acara lompat jauh dengan meraih keseluruhan tiga pingat emas.
Catatan terbaik dalam acara riben biru, 11.87 saat memadamkan rekod dunia, 11.90s milik atlet Rusia, Evgenii Shvetcov yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2013 di Lyon.
Atlet yang mendapat bimbingan jurulatih R. Jaganathan itu juga memecahkan rekod Sukan Asia acara lompat jauh dengan catatan terbaiknya 5.59m dan memadamkan rekod lama (5.45m) yang dilakukan Yang Yi Fei pada 2016.
Siti Noor Iasah, 30, pula mencipta kejayaan meraih pingat emas pada Sukan Para Asia di Jakarta dalam acara 400m T20 (masalah pembelajaran) serta memperbaharui rekod temasya milik pelari Jepun, Mai Iwakiri yang dilakukan pada 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Di Jakarta, Siti Noor Iasah mencatat 58.69 saat, memadamkan catatan masa Iwakiri 1 minit 06.23s.
Kejayaan tersebut juga merupakan gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan kedua diraih Siti Noor Iasah selepas kali pertama dinobatkan gelaran itu pada 2014.