Dalam pertemuan hampir dua jam yang dihadiri keluarga dan sahabat baik kedua-dua pihak, permohonan maaf Mazlan, 50, disambut Yahya, 68, dengan hati terbuka.
BACA: Video Lan Pet Pet pukul pengawal keselamatan veteran
“Saya maafkan Lan (Mazlan)... Ini bukan kerana wang tetapi keinsafan dirinya membuka hati saya memaafkannya.
“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Lagipun, Ramadan al-Mubarak akan tiba, tidak lama lagi. Lebih elok kami berbaik daripada memanjangkan sengketa pada bulan mulia.
“Saya bukannya pendendam... Segala perbuatan dan kekhilafan Lan terlerai sebaik kami bersemuka,” kata Yahya kepada BH Online.
Yahya atau mesra disapa Pak Ya memberitahu, dia kasihan kepada Mazlan terutama dalam aspek karier dan reputasinya selepas insiden hitam itu.
“Kerjaya dan reputasi Lan tercalar dengan insiden itu,” katanya.
Yahya menghormati tindakan Lan yang sanggup bersemuka untuk memohon maaf dengan hati yang ikhlas.
“Asalkan Lan insaf dengan perbuatannya, itu sudah cukup. Saya akan berbincang dengan peguam untuk menarik balik permohonan rayuan supaya hukuman terhadap Lan disemak semula.
“Saya tidak akan meneruskan tindakan saman itu,” katanya.
Sementara itu, Mazlan yang juga anggota kumpulan Senario, bersyukur Yahya yang disapanya Pak Ya dan keluarga, memaafkan dirinya dan melayan dengan baik pada pertemuan itu.
“Berminggu-minggu fikiran saya runsing dan tidak senang hati selagi tidak bersemuka dengan Pak Ya dan keluarga.
“Saya mengambil sedikit masa untuk mengatur pertemuan ini. Saya perlu mencari nombor telefon dan memastikan Pak Ya bersetuju untuk bersemuka.
“Saya berterima kasih pada Pak Ya dan keluarga yang menerima pelawaan untuk bertemu.
“Pada awalnya, saya tahu Pak Ya marah. Tetapi apabila melihat saya dengan rendah diri, zahir dan batin memohon maaf, dia akhirnya tersenyum,” katanya.
Mazlan berkata, dia akan ingat pesanan Pak Ya supaya tidak mengulangi kesilapan.
“Walaupun pada pertemuan ini, air mata tidak menitis, tetapi hati saya menangis tiada siapa tahu.
“Saya sedih dan insaf. Saya berjanji akan menjaga Pak Ya dan keluarga seperti famili sendiri. Saya merancang membawa Pak Ya dan isteri menunaikan umrah di Makkah, insya-Allah,” katanya.
Pada 15 April lalu, Mazlan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul Pak Ya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, di sini.
Mazlan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mayon Yusof.
Mazlan mengaku melakukan kesalahan itu di Acacia Park Desa Jati pada 6 April lalu. Pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu membayar denda diputuskan mahkamah. - BHarian