Fendy, 31, atau nama sebenarnya Mohd Affandi Nor Bakri ketika dihubungi mengakui mendapat tawaran daripada penerbit, Sheila Rusly dan menyifatkan ia satu penghargaan buat dirinya.
“Satu penghargaan apabila mendapat tawaran daripada Sis (Sheila) dan JS Pictures yang sememangnya kita tahu hasil karya mereka yang berkualiti. Sebagai contoh drama Leftenan Zana yang memberi ‘rating’ yang tinggi hingga menjadi buah mulut orang ramai.
“Sejujurnya, andai diberi keyakinan dan kepercayaan, Insya Allah saya cuba untuk beri yang terbaik juga.
“Siri ‘combat’ ini sebenarnya saya suka. Saya juga pernah menjadi komander dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), jadi asas itu sudah ada,” katanya.
Menurut Fendy, dia juga bersedia untuk dikerah seluruh tenaga apabila membintangi drama itu nanti.
“Kadang-kadang orang selalu cakap yang JS Pictures ini macam-macam. Bagi saya mereka mendidik pelakon dan kru dengan cara yang sangat bagus. Dari situ disiplin terjaga.
”Kasar itu tidak menjadi masalah, apa yang penting kita berada di bawah satu bumbung yang harmoni. Jadi, saya sedia menurut perintah,” katanya.
Ditanya apa yang membuatkan dirinya tertarik untuk terbabit dalam siri ini, Fendy berkata, konsep dan jalan cerita dipaparkan adalah untuk menanam semangat cintakan negara.
“Karya ini lain daripada lain yang mana menerapkan semangat dan rasa cintakan pada negara.
“Kita dapat lihat bagaimana daya usaha pasukan tentera yang sememangnya bekerja keras dan bertungkus lumus dalam menjaga keamanan negara.
“Dengan itu, secara semulajadinya kita dapat melatih jati diri dan sikap disiplin kita. Ia secara tidak langsung juga mendidik diri untuk menjadi seorang manusia yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, menerusi laporan Harian Metro, Sheila nekad untuk tidak menerbitkan Leftenan Zana 2 walaupun ia mencatat 25.5 juta tontonan secara keseluruhan sepanjang tempoh tayangan di TV3.
Sebaliknya, Sheila berkongsi bakal menerbitkan sebuah lagi drama bercorak ketenteraan tahun depan.
Tidak ada Leftenan Zana 2
Meskipun mencatat 25.5 juta tontonan keseluruhan, drama Leftenan Zana tidak akan diterbitkan bagi musim kedua.Penerbit dan pelakon drama itu, Sheila Rusly berkata, pihaknya iaitu JS Pictures Sdn Bhd nekad untuk tidak berbuat sedemikian sebaliknya bakal menerbitkan karya daripada genre sama tahun depan.
“Tidak akan ada Leftenan Zana 2. Perkara ini takkan berlaku. Saya tidak mahu janji apa, cuma terus terang cakap, memang tak ada.
“Namun, disebabkan sokongan rakyat Malaysia yang inginkan genre ketenteraan lagi, saya bersama suami, Jinggo akan usaha dan terbitkan genre ini,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, mereka kini dalam perbincangan dengan pihak stesen televisyen dan Kementerian Pertahanan untuk menerbitkan sesuatu yang besar serta memberikan impak lebih hebat.
Katanya, ia mungkin daripada kejadian sebenar supaya karya ini nampak ‘real’.
“Kali ini bukan lagi mengenai kadet, tetapi memberi fokus kepada tentera sebenar. Kiranya, kita ke tahap yang lebih tinggi lagi.
“Doakan saya dan suami diberikan kesihatan baik, ilmu bermanfaat dan berjaya,” katanya.
Ditanya mengenai kejayaan luar biasa drama 16 episod itu, Sheila berkata perasaannya bercampur baur.
Paling penting, sokongan diberikan penonton dan rakyat Malaysia terhadap drama itu memberikan semangat baru untuknya dalam menghasilkan lebih banyak karya bermutu yang sarat dengan mesej berguna.
“Sejujurnya, perasaan saya bercampur baur. Ada gembira dan sedih. Tapi, alhamdulillah, saya bersyukur kerana segala penat lelah bersama suami dan kru hingga mendapat hasil seperti ini.
“Terima kasih stesen televisyen dan Kementerian Pertahanan kerana memberi kepercayaan kepada JS Pictures. Bukan senang nak buat drama genre ketenteraan,” katanya.
Malah katanya, bukan mudah mendapat kepercayaan daripada stesen televisyen dan kementerian.
“Sekurang-kurangnya, saya sudah buktikan pada mereka yang mana ada produksi kecil macam kami mampu untuk menghasilkan drama sebegini,” katanya.
Menurut Sheila, kejayaan diraih drama terbitannya juga bukan alasan untuk dia mendabik dada.
Katanya, dia tidak mahu mendabik dada, tapi lebih bersyukur kerana impian bersama suami mahu menanam semangat cintakan negara pada generasi muda mendapat sambutan.
“Apatah lagi sekarang bukan senang mahu tarik golongan ini menonton drama. Untuk sampaikan mesej sebegini, memang susah mahu diterima. Alhamdulillah, Leftenan Zana boleh menyatukan seisi keluarga untuk menonton bersama.
“Rata-rata bersemangat dan kebanyakan mereka bersyukur dengan keamanan negara. Kita harus kekalkan ini,” katanya.
Sheila berkata, dia percaya setiap kepayahan ada kesenangan dan setiap kesedihan ada kegembiraan.
“Mungkin ini hikmah Allah mahu berikan selepas apa yang terjadi. Sumbangan saya tak besar, sekurang-kurangnya orang ingat cerita ini,” katanya - HMetro