Bantuan RM100 Untuk Pelajar IPT Diberi Akhir Mac

Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) sebanyak RM100 diluluskan oleh Kementerian Kewangan bagi tahun ini untuk setiap penuntut warganegara Malaysia di institut pengajian tinggi (IPT).


BPPT akan disalurkan pada hujung Mac depan menggunakan mekanisme sedia ada iaitu kad debit Bank Rakyat, penambahbaikan daripada sistem baucar buku yang terdahulu, kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan cadangan Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan beban kewangan pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi.

“Bantuan ini dijangka memanfaatkan 1.2 juta pelajar berdasarkan pangkalan data lama dan akan membabitkan peruntukan RM120 Juta,” kata Kementerian Kewangan.

Perincian pelaksanaan BPPT 2019 dan kriteria kelayakan penerima akan diumumkan Kementerian Pendidikan kelak.

“Penyaluran BPPT ini dibuat selaras dengan pengumuman kerajaan pada 20 Februari lalu untuk memberi Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 sebanyak RM100 untuk golongan bujang.

“Ia susulan saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi lebih perhatian kepada usaha membantu rakyat menangani beban kos sara hidup.

“Bayaran BSH untuk golongan bujang ini akan memanfaatkan lebih tiga juta individu dan membabitkan peruntukan RM300 juta,” katanya.

Related Posts

Load comments