5 Kanak-Kanak Positif Difteria di Johor

Lima lagi kanak-kanak disyaki positif jangkitan difteria dan kini ditahan di wad isolasi pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

5 Kanak-Kanak Positif Difteria di Johor

Info Mengenai Difteria

  • Difteria adalah jangkitan akut yang menjejaskan sistem pernafasan
  • Ia mula dikesan sekitar 90-an di Russia, Ukraine, Mongolia dan Ecuador
  • Penyakit ini meningkat semasa musim sejuk di kawasan beriklim sederhana dan turut membabitkan kanak-kanak berumur bawah 15 tahun yang belum mendapat imunisasi
  • Ia boleh dijangkiti orang dewasa yang tidak mendapat imunisasi
  • Ejen penyebab adalah Corynebacterium diphtheriae
  • Bakteria yang dijangkiti oleh virus corynebacteriophage akan mengeluarkan toksin difteria
  • Jangkitan difteria mudah tersebar melalui titisan cecair dan sentuhan fizikal
  • Ia boleh menjangkiti tekak dan kadangkala selaput mukus lain, kulit , konjunktiva dan kemaluan.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, berkata semua kanak-kanak berkenaan termasuk tiga perempuan berusia bawah empat tahun, dikesan positif jangkitan difteria susulan saringan terhadap 52 individu oleh Jabatan Kesihatan negeri.


Katanya, seorang daripada mangsa yang positif adalah kakak kepada budak lelaki berusia dua tahun satu bulan yang meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria, Selasa lalu.

“Daripada lima kanak-kanak disyaki positif, empat daripadanya didapati mengambil suntikan vaksin, manakala seorang lagi iaitu kakak kepada mangsa yang meninggal Selasa lalu, tidak mengambil suntikan vaksin.

“Semalam hasil pemantauan Jabatan Kesihatan negeri, lima kanak-kanak ini mengalami gejala dan semua positif jangkitan difteria.

“Semua kanak-kanak ini tinggal di kawasan perumahan yang sama dan terdapat juga sebuah taska yang dikunjungi kelima-lima mereka,” katanya pada sidang media di HSA di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abd Aziz.

Bagaimanapun, Dr Sahruddin berkata, tiga daripada kanak-kanak yang kini ditahan akan dibenarkan pulang esok, jika mereka tidak lagi menunjukkan gejala jangkitan.

“Kita akan berikan antibiotik khas dalam tempoh 14 hari sebelum pemantauan susulan dibuat bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada simptom.

“Tiga daripada mereka sudah mendapatkan rawatan lebih awal pada 19 Februari lalu iaitu lebih 48 jam, manakala dua lagi akan terus menerima rawatan dan pemantauan susulan, bagaimanapun kedua-duanya dalam keadaan stabil,” katanya.

Katanya, jangkitan ini membabitkan satu komuniti kecil dan pihaknya yakin dapat mengawal ia daripada merebak ke tahap lebih buruk.

“Ini adalah jangkitan dalam kelompok kecil dan kita akan terus membuat pemantauan lanjut serta rapi bagi memastikan jangkitan ini dapat dikawal sepenuhnya,” tambahnya.

Kelmarin, BH melaporkan lebih 50 individu yang pernah berhubung atau bertemu kanak-kanak lelaki berusia dua tahun satu bulan yang meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria Selasa lalu, sudah disaring dan dipantau.

Related Posts

Load comments