Penyedut minuman plastik dilarang di Selangor berkuat kuasa 1 Julai ini

Dilarang menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan berkuat kuasa 1 Julai ini di semua premis makanan di Selangor.

Penyedut minuman plastik dilarang

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor Hee Loy Sian berkata, keputusan itu sebulat suara dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini.

Menurutnya, premis juga turut dilarang menyediakan penyedut minuman plastik di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan.


“Setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan meletakkan syarat ini dalam Syarat Permohonan Lesen Perniagaan semasa pengusaha mengemukakan permohonan baru atau membaharui lesen perniagaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Loy Sian berkata, dasar itu juga selaras dengan Kempen Bebas Plastik yang sedang dijalankan untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna (single-use plastics) seperti beg plastik, polistirena, penutup/pelapis makanan plastik dan bahan plastik pakai-buang.

“Objektif utama dasar ini untuk mendidik dan meningkatkan tahap kesedaran penduduk berhubung kesan jangka panjang penggunaan plastik sekali guna khususnya straw plastik terhadap kesihatan dan alam sekitar.

“Di samping itu, pelaksanaan dasar ini dijangka akan dapat membantu kerajaan mengawal masalah pencemaran alam sekitar yang semakin ketara dan menggalakkan usaha kitar semula,” katanya.

Beliau berkata, PBT akan memantau pelaksanaannya dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan penguat kuasaan berkenaan.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, pengusaha premis makanan dan minuman atau restoran digesa memberikan kerjasama serta bantuan supaya objektif pengurangan penggunaan plastik tercapai.

“Kerajaan negeri berasa amat bangga dan berterima kasih kerana terdapat ramai pengusaha premis makanan, minuman atau restoran yang sudah mengambil inisiatif dan langkah ke depan daripada kerajaan.

“Orang ramai digalakkan untuk memberi cadangan dan pendapat berhubung pelaksanaan kempen dan dasar ini kepada jabatan atau agensi kerajaan serta boleh menghubungi pejabat EXCO untuk tujuan itu.

“Setiap cadangan atau pendapat akan diberi perhatian dan dikaji supaya kempen atau dasar kerajaan ini akan mencapai kejayaan,” katanya.

Related Posts

Load comments