(Update) Video penunggang motosikal memukul pemandu wanita yang tak 'bagi signal'

Video penunggang motosikal memukul pemandu wanita yang tak 'bagi signal'. "Kaulah bodoh, kaulah gila" dikatakan menjadi punca seorang pemandu wanita 'makan' penampar dan penumbuk seorang lelaki.

Video penunggang motosikal memukul pemandu wanita yang 'bagi signal'

Kisah ini kecoh di media sosial sejak Khamis apabila sebuah rakaman video tular menunjukkan seorang lelaki bertindak menampar dan menumbuk muka seorang pemandu wanita di Jalan Dato Keramat, Kuala Lumpur.

Isteri lelaki tersebut, Faridah Mohd Yatim, 38, tampil memberi penjelasan berkaitan insiden itu yang berlaku pada petang Rabu.

Faridah ketika dihubungi mStar berkata, dia tidak bermaksud untuk menyokong tindakan ganas suaminya yang bekerja sebagai chef itu kerana baginya 'salah tetap salah'.


Bagaimanapun, dia berasa terpanggil untuk menceritakan versi penuh kejadian tersebut supaya orang ramai yang tidak tahu kisah sebenar dapat membuat penilaian sendiri berbanding terus mengecam suaminya dan keluarga.

"Sebenarnya video yang tular itu hanya separuh sahaja. Suami saya dan rakan-rakannya kata mereka sudah mengejar wanita itu dari satu selekoh sebelum dia berhenti.

"Wanita itu dikatakan telah menukar lorong tanpa beri isyarat, menyebabkan suami hampir terbabas," katanya.

Menurut Faridah, suaminya juga mengaku telah menghentak topi keledarnya di atas kereta wanita itu kerana terlalu marah.

"Wanita itu tak berhenti atau cuba meminta maaf. Apabila suami saya kejar dan dia berhenti, dia menjawab dengan biadab.

"Suami saya memang panggil wanita itu bodoh kerana memandu secara berbahaya dan boleh membahayakan nyawanya dan wanita itu membalas 'kaulah bodoh, kaulah gila', mungkin itu sebabnya suami saya 'naik angin'," katanya.

Tambah Faridah, suaminya berkata, kejadian membelok tanpa memberi 'signal' itu berlaku kerana wanita itu memandu sambil bercakap telefon.

"Malah wanita itu sendiri cakap 'aku angkat la telefon sebab ada orang call' selepas suami saya marah dia guna telefon," jelasnya.

Menurut Faridah, dia mengaku suaminya seorang yang panas baran, tetapi sepanjang 15 tahun berkahwin dan mempunyai seorang anak, dia tidak pernah 'naik tangan'.

"Ya saya akui dia memang baran. Tetapi dia seorang suami dan bapa yang penyayang. Saya memang ada beritahu dia, apa yang dia buat tu salah (pukul wanita) dan dia sendiri mengaku salah," katanya.
Saya sedar pun suami saya mengamuk kerana sudah hilang sabar dengan kerenah pemandu yang suka main telefon. Dia sudah beberapa kali terjatuh kerana sikap pemandu seperti itu.

Mengenai laporan yang menyatakan suaminya mempunyai rekod lima jenayah lampau, Faridah menafikannya.

"Saya jelaskan di sini bahawa polis sendiri sudah mengesahkan ia adalah rekod pemilik lama motosikal suami. Suami saya tidak ada sebarang rekod jenayah.

"Saya sedar pun suami saya mengamuk kerana sudah hilang sabar dengan kerenah pemandu yang suka main telefon. Dia sudah beberapa kali terjatuh kerana sikap pemandu seperti itu," dakwanya.

Selepas apa yang berlaku Faridah hanya berharap suaminya dapat menjadikannya sebagai pengajaran sambil memberitahu dia menyerahkan urusan seterusnya kepada pihak berkuasa.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, suspek didapati menumbuk kepala dan menampar muka wanita terbabit.

Katanya, wanita itu kemudian tampil membuat laporan polis.

"Kejadian berlaku ketika pengadu yang memandu kereta jenis Honda Civic di laluan kiri Jalan Dato Keramat didatangi seorang lelaki dari arah belakang yang memaki dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menuduh pengadu masuk simpang tanpa memberikan isyarat lampu.

"Suspek kemudian membuka topi keledarnya dan menghentak bumbung kereta pengadu, semasa mangsa keluar kereta untuk melihat kerosakan yang dialaminya, suspek menumbuk kepala dan menampar muka pengadu.

"Pengadu kemudian dibantu oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum tampil membuat laporan polis, pengadu juga sudah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. - Mstar


Berita sebelumnya
Terkini Polis sedang memburu lelaki yang melempang muka serta menumbuk kepala wanita yang memandu kereta Honda Civic dalam perselisihan faham yang berlaku di Jalan Dato Keramat, Kuala Lumpur, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 4 petang semalam apabila lelaki yang menunggang motosikal Honda Dash datang dari arah belakang dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, suspek menuduh mangsa memasuki simpang jalan tanpa memberikan lampu isyarat.

“Selepas itu, suspek kemudian membuka topi keledar dipakai dan menghentak bumbung kereta mangsa.

“Akibat tindakan itu, mangsa kemudian keluar bagi melihat kerosakan pada keretanya sebelum suspek yang memaki hamunnya bertindak menampar muka serta menumbuk kepalanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Azmi berkata, mangsa kemudian dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum membuat laporan polis serta rawatan di Hospital Ampang.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatang kecederaan dengan sengaja serta kerana melakukan khianat.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan khianat.

“Susulan itu, tindakan mengesan suspek kini sedang dijalankan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor R Sivanathan di talian 016-5903985 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Hari ini, tular rakaman berdurasi 34 saat memaparkan tindakan samseng jalanan yang melempang serta menumbuk seorang pemandu wanita.

Rakaman video dirakam pengguna jalan raya lain menunjukkan tindakan lelaki itu yang melempang wanita terbabit menggunakan tangan kanan pada muka sebelah kiri serta menumbuk kepala menggunakan tangan kirinya sebelum dileraikan orang ramai. - HMetro

Related Posts

Load comments