Muhammad Sajjad atau turut dikenali sebagai Nur Sajat didakwa melakukan perbuatan itu di kedai yang menjalankan perniagaannya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, tahun lalu.
Terdahulu, Nur Sajat yang berbaju kebaya merah hadir di mahkamah pada 10.20 pagi ditemani rakannya sebelum mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah Abd Rahman.
Mengikut kertas pertuduhan, sepasukan anggota dan pegawai Unit Farmasi, KKM melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Baru Uda, kira-kira 12 tengah hari, 15 Ogos lalu sebelum merampas 19 produk kecantikan bernilai hampir RM10,000.
Ketika pemeriksaan dilakukan, pemiliknya Nur Sajat tiada di premis berkenaan.
Antara produk yang dirampas termasuklah pemutih kulit dan produk kecantikan lain.
Tindakan diambil mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984 dan ia satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984.
Pendakwaan terhadap usahawan itu pula dilakukan mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.
Pegawai pendakwa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Johor memohon mahkamah menetapkan RM8,000 sebagai wang jaminan dan seorang penjamin berikutan kesalahan dilakukan tertuduh yang serius.
Bagaimanapun, peguam bela Nur Sajat memohon wang jaminan sebanyak RM1,500 dengan alasan anak guamnya tidak pernah ingkar arahan mahkamah.
Bagaimanapun, Norasidah menetapkan RM7,000 sebagai jumlah wang jaminan dan seorang penjamin serta 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Nur Sajat bagaimanapun hanya menjelaskan wang jaminan kira-kira 12 tengah hari selepas menunggu rakannya mengeluarkan wang.
Selain itu, usahawan berkenaan dilihat cuba mengelak wartawan dan jurugambar dengan menggunakan laluan lain untuk ke kaunter bayaran. - HMetro