Dalam kemalangan 6.30 petang itu, mangsa Muhammad Kamil Raja Mydin, 19, menunggang motosikal Yamaha Y15 ZR bersama seorang remaja perempuan, Siti Nuraishah Mydin Koya, 19, dari arah Jalan C Y Choy menghala ke Jalan Sungai Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sebaik sampai di lokasi kejadian di Jambatan Besi Jalan Jelutong, mangsa terbabas dan terlanggar besi bahagian tengah jambatan itu.
“Kesan rempuhan itu, kaki kanan mangsa putus pada paras lutut ke bawah manakala pembonceng mengalami luka di kaki kanannya.
“Orang ramai yang berada di lokasi kejadian membantu mangsa yang putus kaki termasuk ada yang melonggokkan ais pada kaki mangsa yang putus selain di pahanya,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan termasuk menyambung kembali kakinya yang putus.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - HMetro