Malaysia menarik diri sertai Statut Rom

Berita terkini kabinet hari ini memutuskan Malaysia menarik diri dari menerima perakuan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Malaysia menarik diri sertai Statut Rom

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat berikutan salah faham banyak pihak berkaitan perjanjian antarabangsa berkenaan.

Selain itu, beliau menegaskan, cubaan pihak tertentu mengheret institusi Raja-raja Melayu menyebabkan Jemaah Menteri membuat pendirian itu.

“Kita membuat keputusan ini kerana ada usaha untuk mengheret Raja-raja Melayu menentang kerajaan khususnya Perdana Menteri sedangkan ramai yang keliru dengan kandungan Status Rom.


“Bukan kerana Statut Rom akan rosakkan negara tetapi disebabkan suasana politik kita yang mana rakyat mudah salah faham dan menganggap kerajaan menandatangani surat cara itu untuk kepentingan diri sendiri,” kata beliau.

Beliau berkata demikian sidang media di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mahu tiada lagi pihak yang mempolitikkan isu Statut Rom selepas kerajaan membuat keputusan itu.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memelihara kedaulatan Malaysia dengan mengamalkan undang-undang negara tanpa campur tangan pihak asing.

Wisma Putra dalam kenyataan pada 5 Mac lalu berkata, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada 4 Mac dan surat berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.

ICC ditubuhkan pada 2002, dan ditadbir mengikut Statut Rom.

ICC adalah mahkamah jenayah antarabangsa yang pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa membabitkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

Banyak pihak termasuk Raja-raja Melayu menzahirkan kebimbangan terhadap keputusan itu dan meminta kerajaan menarik balik persetujuan penyertaan perjanjian antarabangsa terbabit. - HMetro

Related Posts

Load comments