Menjadi salah satu model paling laris Hyundai sejak 2012, HSDM mahu menguatkan lagi pengaruh Elantra sebagai sebuah pesaing dalam segmen C.
Walaupun ia bertaraf facelift, Hyundai Elantra menampilkan casis yang lebih panjang 70 mm berbanding model terdahulu, akan tetapi mengekalkan jarak antara roda yang sama.
Reka bentuk luaran kini lebih agresif, menampilkan lampu utama berbentuk segi tiga, lampu belakang baharu, serta gril radiator yang lebih sporty. Menghiasi ruang arca roda ialah rim aloi bersaiz 17 inci.
Memasuki ruang kabin, barisan kluster meter baharu yang sporty menyambut kehadiran pemandu di samping roda stereng dengan butang multifungsi, tempat duduk kulit dan papan pemuka daripada bahan yang lembut untuk disentuh.
Nadi kuasa 2.0 liter masih kekal seperti model sebelumnya, enjin Nu MPi empat silinder sebaris mampu menjana kuasa sekitar 152 PS dan 192 Nm dipadankan dengan transmisi auto enam nisbah kelajuan.
Dalam usaha untuk mencapai penarafan tertinggi daripada IIHS dan NHTSA, Hyundai Elantra tidak kalah ddngan macam-macam ciri keselamatan seperti:
- Brek anti-kunci
- Kawalan Kestabilan Elektronik
- Pengurusan Kestabilan Kenderaan
- Kawalan Cengkaman
- Sistem Petunjuk Parkir
- Sistem Pemantauan Tekanan Tayar
- Bantuan Mula Mendaki
Terdapat lima warna pilihan iaitu Phantom Black, Fiery Red, Teal Blue, Fluid Metal dan Polar White dengan dua warna edisi khas ditawarkan iaitu Stargazing Blue dan Sparkling Metal khas untuk tempoh terhad.
Harga jualan pula bermula dari RM109,888 atas jalan tanpa insurans dan didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 300,000 km perbatuan yang mana terdahulu. - Careta