Fizz Fairuz menyerlah dengan watak jahat

Fizz Fairuz menyerlah dengan watak jahat. Sudah 12 tahun membina karier sebagai pelakon, ternyata persembahan lakonan Datuk Fizz Fairuz, 40, kini sangat mantap.


Terutama, apabila melakonkan watak antagonis yang pastinya berjaya membuatkan emosi penonton terganggu hingga timbul rasa benci dan marah.

Popular menerusi watak Ustaz Aidil dalam drama Nur Kasih pada 2006, Fizz kini mencuri perhatian penonton apabila membawakan karakter Murat.

Fizz berganding dengan pelakon berkaliber Nabila Huda untuk drama terbaru mereka, Kamar Kamariah yang disiarkan di slot Akasia TV3 dari Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.


Ditanya mengenai tumpuan Fizz yang lebih menyerlah dengan watak ‘hitam’, dia berkata, jadi baik atau jahat, ia tetap lakonan dan karier diminatinya.

“Saya terima apa saja watak untuk dilakonkan mengikut kesesuaian. Sebagai pelakon, saya cuba memberi lakonan yang berkesan.

“Bagi watak antagonis, jika penonton boleh marah atau sakit hati, itu bermakna saya berjaya melakonkannya dengan baik.

“Saya banyak belajar daripada pengalaman. Mutu persembahan lakonan saya sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa. Meski sudah lama berlakon, saya tidak boleh cepat berasa selesa,” katanya.

Mengulas watak Murat, Fizz berterima kasih kepada Nabila kerana sangat komited dan memberikan kerjasama padu.

“Seronok bekerja dengan Nabila kerana kami saling berbincang watak masing-masing. Saya harap penonton jangan bencikan Murat.

“Bukan mudah untuk memastikan sesebuah watak itu dapat dipersembahkan dengan baik dan saya bekerja keras untuk merealisasikannya.

“Paling utama, saya tidak boleh berasa cepat selesa. Jika rakan gandingan mampu menyuntik tenaga yang baik dalam lakonannya, maka saya juga kena buat lebih juga,” katanya.

Mengakui rezekinya dalam bidang ini kian murah, Fizz bagaimanapun tetap rancak mengendalikan perniagaan yang diusahakan demi jaminan masa depan.

“Pada usia 40-an, saya harus ada perancangan masa depan buat keluarga. Saya akan berlakon selagi masih ada permintaan.

“Buat masa sekarang, Alhamdulillah rezeki saya dalam bidang lakonan masih ada. Tawaran juga tak putus dan saya ambil mana watak yang dirasakan sesuai,” katanya.

Fizz yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon Datin Almy Nadia pada 2014 kini bahagia dengan tiga cahaya mata perempuan. - HMetro

Related Posts

Load comments