Pencapaian Keputusan STPM 2018 Meningkat

Pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 2018 meningkat sebanyak Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.80 berbanding PNGK 2.76 pada 2017.

Pencapaian Keputusan STPM 2018 Meningkat

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, ini menunjukkan peningkatan nasional yang memberangsangkan dalam kesemua kriteria pengukuran pencapaian itu jika dibandingkan pada tahun sebelumnya.

“Seramai 666 calon STPM 2018 memperoleh PNGK 4.00, naik sebanyak 0.42 peratus berbanding 485 calon pada 2017.

“Lebih menggembirakan 489 calon daripada 666 yang mendapat PNGK keseluruhan 4.00 atau 73.42 peratus adalah daripada golongan B40," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan itu di sini hari ini.


Katanya, bilangan dan peratusan calon yang mendapat PNGK 3.50 ke atas juga mencatatkan pertambahan iaitu 7,129 (16.63 peratus) pada tahun 2018 berbanding 6,408 calon (14.89 peratus) pada 2017.

Zul Azhar berkata, bilangan dan peratusan calon yang mendapat 5A dan 4A juga meningkat iaitu daripada 521 calon pada STPM 2017 kepada 673 calon dalam peperiksaan tahun 2018.

“Bilangan ini melebihi calon yang mendapat PNGK 4.00 iaitu 666 calon kerana terdapat tujuh calon yang tidak mendapat A dalam subjek Pengajian Am,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan kesemua 22 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2018 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus, iaitu gred C dan ke atas.

“Tiga subjek iaitu Biologi, Fizik dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menunjukkan peningkatan dalam prestasi lulus penuh iaitu lebih tiga peratus berbanding STPM 2017,” katanya.

Dalam pada itu, Zul Azhar berkata MPM telah memilih 20 pelajar terbaik mengikut kategori untuk diberikan anugerah.

Terdapat tiga pelajar istimewa terbaik dan seorang pelajar terbaik yang menghidap sakit kritikal turut diberikan penghargaan dan ganjaran khas.

“Buat julung kalinya juga MPM memberi anugerah kepada lima pelajar terbaik kategori B40. MPM turut meneruskan pemberian anugerah kepada seorang pelajar Orang Asli,” katanya. - Bernama


Anak pemotong rumput, jurukimpal cemerlang STPM

KEMAMAN - Walaupun bukan datang dari keluarga mewah, dua calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail berjaya membuktikan mereka mampu cemerlang apabila muncul antara 47 pelajar terbaik negeri bagi STPM 2018 yang keputusannya diumumkan hari ini.


Osman Hassan, 21, yang bapanya bekerja sebagai pemotong rumput dan rakannya yang juga anak kepada jurukimpal, Liew Yee Wen, 20, masing-masing memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 atau '4 flat'.

Osman berkata, jadual belajar yang tersusun rapi banyak membantunya belajar hingga berjaya mendapat keputusan cemerlang itu.

"Kalau belajar sendiri di rumah, mungkin saya tak boleh konsisten cara belajar, jadi tinggal di asrama sangat-sangat bantu saya dalam pelajaran.

"Jadual belajar di asrama sangat fleksibel, ada juga waktu rehat. Jadi saya belajar dalam suasana seronok dan tak stres," katanya selepas menerima slip keputusan dan hadiah pada majlis penyerahan keputusan STPM 2018 di SMK Sultan Ismail.

Pada majlis itu, Osman turut dipuji guru kerana memang dikenali sebagai seorang pelajar yang ringan tulang membantu guru dan rakan-rakannya.

Kata Osman, dia menghulur pertolongan dengan ikhlas apatah lagi kepada guru-gurunya yang mencurah ilmu sepenuh hati kepada dia dan semua pelajar.

Kata anak ketiga dari tujuh beradik yang tinggal di Seri Bandi itu, dia bercita-cita untuk menjadi seorang guru ekonomi sekali gus mahu membantu meringankan beban bapa, Hassan Abdul Hamid, 52, dan ibu Rogayah Mohamad, 47, yang bekerja sebagai buruh ladang sawit.

Sementara itu, Yee Wen dari Bukit Mentok berkata, kesungguhan guru-gurunya mengadakan kelas tambahan walaupun pada hujung minggu dan cuti umum membolehkan dia meraih keputusan cemerlang itu.

"Saya juga amalkan buat kerja sekolah pada waktu malam dan bila siap kerja sekolah saya ulangkaji pelajaran pula. Pada waktu petang saya tidur seketika untuk rehatkan minda agar dapat belajar pada waktu malam dengan penuh fokus," katanya.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Sultan Ismail, Hamidah Hassan berkata, keputusan STPM 2018 sekolahnya mencatatkan lonjakan membanggakan kerana merekodkan dua calon peroleh PNGK 4.00, 13 calon mendapat semua A dan 61 calon memperoleh PNGK 3.00 ke atas serta sekolah merekodkan PNGK 3.00.

"Berbanding STPM 2017, kita tiada pelajar yang peroleh PNGK 4.00, calon yang mendapat semua A seramai lima orang dan PNGK sekolah pula 2.79.

"Jadi ini adalah keputusan STPM terbaik yang diperoleh sekolah sejak sistem modular diperkenalkan dalam peperiksaan ini pada 2013," katanya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin berkata, Kemaman melakar pencapaian membanggakan apabila turut diiktiraf sebagai daerah terbaik pencapaian semua A STPM 2018 dengan calon seramai 11.66 peratus.

Katanya, pujian juga harus diberikan kepada SMK Badrul Alam Shah yang berada di kedudukan nombor satu dalam 10 senarai sekolah di negeri ini yang mencapai keputusan semua A dengan peratusan 22.45 peratus.


Rahsia cemerlang STPM: Jaga hubungan dengan ALLAH

KUALA TERENGGANU - Saya jaga hubungan saya dengan ALLAH SWT, kalau tak jaga, susah ilmu tu nak masuk ke dalam diri kita dan keredaan ALLAH itu yang paling utama," itu luahan Nur Syahidah Hassan, 20, memperoleh 5A dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018.

Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) (A) Sultan Zainal Abidin yang memperoleh 5A mengakui itulah kunci kejayaannya selain menjaga baik hubungan dengan guru, ibu bapa dan rakan-rakannya.

“Selain itu, keredaan dan sokongan daripada kedua-dua ibu bapa dan guru amat penting.

"Sekiranya ada melakukan kesilapan, saya akan sentiasa minta maaf," katanya.



Nur Syahidah sebak menceritakan kisah kejayaannya ketika ditemui di SMA (A) Sultan Zainal Abidin, hari ini.

Anak kepada pasangan juruteknik (bapa) dan guru (ibu) ini mengambil lima mata pelajaran dalam STPM iaitu Pengajian Am, Bahasa Arab, Usuluddin, Syariah dan Sejarah.

Berkongsi kejayaan itu, Nur Syahidah juga berkata, buku-buku pelajarannya akan dipastikan dijaga rapi dan tidak diletakkan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya.

"Itu bagi memelihara ilmu agar mudah diingati,” katanya.

Nur Syahidah turut berterima kasih kepada pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) yang sentiasa melibatkan dirinya di dalam penganjuran kem kecemerlangan.

Selain Nur Syahidah, seorang lagi pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Mohamad Amir Mohamad Rozaimi turut mendapat 5A dalam STPM di Terengganu.


Kesempitan hidup dorong perolehi STPM cemerlang

HULU BESUT- Kesempitan hidup keluarga menjadi pembakar semangat kepada Saiful Azri Rosdi, 20, untuk memperolehi keputusan PNGK 4.0 (4A) dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2018 yang diumumkan hari ini.


Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, di sini itu merupakan salah seorang daripada tiga pelajar sekolah itu yang memperolehi keputusan sama.

Anak kepada pasangan petani dan tukang jahit ini berkata, kesungguhannya untuk mendapat keputusan ini adalah untuk mengubah nasib keluarganya.

Bijak mengatur masa belajar, Saiful Azri mengusahakan gerai menjual burger pada waktu malam di hadapan rumahnya di Pasir Akar untuk mencari pendapatan sampingan membantu ibu bapanya.

Dengan hasil berniaga itulah, Saiful Azri gunakan membantu ibu bapanya termasuk membiayai empat adik-adiknya.

Ketika cuti sekolah pula, dia akan bekerja sebagai pembantu kedai pakaian di Jertih.

“Pendapatan ayah dan ibu tak banyak sangat, sebab tu saya kerja,” kata anak sulung daripada lima beradik ini.

Dia ditemui selepas menerima keputusan peperiksaan itu di SMK Putra tadi yang disampaikan pengetua sekolah, Mohammad Idris.

Hadir sama Penolong Kanan Tingkatan 6 SMK Putra, Fakaru Azhar Yunus dan ibu bapa Saiful Azri, Rosdi Yunus, 50 dan Yusmaimi Yusof, 44.

Saiful Azri menjadikan kesusahan itu sebagai dorongan untuk dia belajar bersungguh-sungguh agar memperolehi keputusan cemerlang dan menjadi contoh kepada adik-adiknya.

Krjayaan ini sekali gus akan dapat mengubah nasib keluarganya satu hari nanti.

Berbangga dengan keputusan yang diterima, Saiful Azri berkata, inilah keputusan peperiksaan paling cemerlang yang pernah diperolehi sepanjang persekolahan selama ini. - SinarHarian

Related Posts

Load comments