Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan berkata, ketika fenomena itu berlaku, jarak bulan dengan bumi adalah 359,377 kilometer.
Katanya, bulan akan mengalami fasa bulan penuh pada jam 9.43 pagi pada 21 Mac ini.
"Kejadian ini dikenali sebagai Bulan Penuh Perigee bagi ahli astranomi dan istilah supermoon di kalangan masyarakat umum. Supermoon berlaku apabila bulan berada di fasa purnama dan berada pada jarak paling hampir dengan bumi dalam orbitnya.
"Fenomena ini berlaku kerana bentuk orbit bulan mengelilingi bumi adalah sedikit bujur yang menyebabkan jarak antara bumi dengan bulan sentiasa berubah-ubah," katanya, hari ini.
Menurutnya, keadaan bulan di kedudukan perigee ketika fasa purnama ini menyebabkan bulan kelihatan sehingga tujuh peratus lebih besar dan 15 peratus lebih cerah berbanding fasa bulan penuh lain secara purata.
"Saiz fizikal sebenar bulan tidak berubah sama sekali. Bagaimanapun, fenomena supermoon hanya dapat dilihat di negara-negara yang mengalami waktu malam tetapi tidak di Malaysia kerana ia berlaku pada waktu siang.
"Orang ramai boleh melihat fenomena Bulan Penuh Perigee (bukan supermoon) pada malam 21 Mac ini," katanya.
Mengulas lanjut, pihaknya berkata, Angkasa tidak mengadakan sebarang program pencerapan untuk orang awam sempena fenomena ini.