Warisan Nusantara, Keris - Senjata, Jatidiri dan Darjat

Sebuah dokumentari bertajuk Warisan Nusantara yang memaparkan pelbagai cara hidup nusantara orang dahulu. Episod pertamanya semalam memaparkan kisah Keris yang menjadi alat atau senjata bagi orang Melayu nusantara.

Keris Warisan Nusantara

Keris ialah sejenis senjata pendek Austronesia yang digunakan sejak melebihi 600 tahun dahulu. Senjata ini memang unik di dunia Melayu dan boleh didapati di kawasan berpenduduk Melayu seperti Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand Selatan, Filipina Selatan (Mindanao) dan Brunei.


Sejarah Keris

Nama yang digunakan untuk keris berbeza mengikut daerah misalnya sundang di Mindanao, kedutan di Bali dan kareh di Sumatera. Perkataan keris dikatakan berasal daripada bahasa Jawa Kuno iaitu malang kerik yang bermaksud bercekak pinggang. Ini merujuk kepada patung orang bercekak pinggang pada hulu keris pada peringkat awal.

Keris digunakan untuk mempertahankan diri (misalnya sewaktu bersilat) dan sebagai alat kebesaran diraja. Senjata ini juga merupakan lambang kedaulatan orang Melayu. Keris yang paling masyhur ialah keris Taming Sari yang merupakan senjata Hang Tuah, seorang pahlawan Melayu yang terkenal.

Keris berasal dari kerajaan Srivijaya Kepulauan Jawa dan gambaran keris terdapat di Candi Borobudur. Keris purba telah digunakan antara abad ke-9 dan abad ke-14. Senjata ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mata, hulu dan sarung. Keris sering dikaitkan dengan kuasa kesaktian oleh orang Melayu pada zaman dahulu. Antara lain, terdapat kepercayaan bahawa keris mempunyai semangatnya yang tersendiri.

Keris menurut amalan Melayu tradisional perlu dijaga dengan cara diperasapkan pada masa-masa tertentu, malam Jumaat misalnya. Ada juga amalan mengasamlimaukan keris sebagai cara untuk menjaga logam keris dan juga untuk menambah bisanya.

Secara umumnya, keris boleh dikategorikan kepada:

  1. Keris Semenanjung
  2. Keris Bugis
  3. Keris Jawa
  4. Keris Sumatera
  5. Keris Madura
  6. Keris Patani
  7. Keris Bali
  8. Keris Sajen
  9. Keris Picit

Related Posts

Load comments