Kedai Dobi Meletop Di Klang

Kedai Dobi Meletop Di Klang. Dua beranak kedai dobi layan diri 24 jam melecur, kecederaan 50 dan 30 peratus selepas berlaku letupan di premis berkenaan di Jalan 3E, Bandar Putera 2, Klang semalam.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Rizal Buang berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada 8.55 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas tiba di lokasi kejadian, 10 minit kemudian.

“Selepas memeriksa premis, kami mendapati letupan berlaku di bahagian simpanan tangki gas di dalam lubang seluas 3 meter persegi.

“Kedai dobi itu mengalami kerosakan 20 peratus dan punca kejadian masih disiasat.

“Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap City Coin Laundry Sdn Bhd, Kelvin Ang berkata, francais di Bandar Putera, Klang itu sudah dipajak kepada pemilik lain, namun masih mengikuti perkembangannya.

“Pemilik francais itu menghubungi saya pagi ini, selepas insiden itu dan memberitahu saya hal itu.

“Dua kakitangan ke kedai itu untuk memeriksa, namun ia ditutup pihak bomba,” katanya.

Kelvin mengesahkan dua pelanggan iaitu seorang lelaki dan anak perempuannya masing-masing mengalami kecederaan 50 dan 30 peratus dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Katanya, kakitangan pihaknya sudah melawat mangsa di hospital dan kedua-duanya dikatakan berada dalam keadaan stabil.

“Ini bukan kejadian letupan pertama membabitkan outlet Laundrybar kerana pada April lalu, berlaku letupan di premis di Jinjang menyebabkan seorang wanita berusia 40 tahun cedera.

“Dalam kes pertama di Jinjang, kami dapat mengenalpasti punca letupan disebabkan kebocoran gas selepas kerja penyelenggaraan, namun untuk kes kali ini, puncanya belum diketahui dan dalam siasatan bomba.

“Sebagai salah satu pelopor dalam perniagaan dobi, kami sentiasa mengamalkan langkah keselamatan ketat di outlet kami untuk memastikan keselamatan pelanggan sepanjang masa, namun sangat malang apabila insiden itu menyebabkan dua orang cedera,” katanya.

Beliau berkata, syarikat berkenaan sedang meneliti pampasan bagi mereka yang cedera daripada syarikat insurans.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berkenaan sudah diambil dan satu salinan diberikan kepada pihak bomba untuk memudahkan siasatan. - HMetro

Related Posts

Load comments