Pengasuh Sorok Mayat Bayi Dalam Peti Sejuk

Pengasuh Sorok Mayat Bayi Dalam Peti Sejuk. Bayi lelaki Adam Rayqal Mohd Sufi, 5 bulan, yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki, ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, di sini.


Bapanya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, berkata kehilangan anaknya, Adam Raikal dimaklumkan oleh isterinya Farah Madiha Othman, 28, 7 malam tadi.

"Isteri saya menghantar Adam Raikal ke rumah pengasuh pada pukul 12 tengah hari tadi kerana dia ingin pergi bekerja.

“Pada sebelah petang, pengasuh memaklumkan kepada isteri yang anak saya diambil oleh seorang lelaki yang menyangka itu adalah saya... walhal saya belum mengambil anak dari rumah pengasuh," katanya ketika dihubungi.

Mohd Sufi Naeif berkata, dia belum pernah menjemput anaknya yang baharu seminggu dihantar ke rumah pengasuh berkenaan.

“Saya harap Adam Raikal dapat ditemui segera," katanya yang masih memberi keterangan kepada pihak polis setakat 11 malam ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Polis sedang merakam percakapan ibu bapa bayi terbabit bersama pengasuhnya," katanya.

Mohd Sufi Naeif memuat naik gambar Adam di laman sosial miliknya meminta orang awam membantu mengesan anaknya itu.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat Adam Rayqal ditemui disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu, kira-kira jam 11 malam tadi.

Katanya, mayat bayi berkenaan lengkap dengan pakaian dan berbalut kain napkin serta disumbat dalam beg berwarna hijau di temui oleh sepasukan anggota bahagian siasatan jenayah yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

"Mayat Adam Rayqal ini ditemui selepas siasatan polis mendapati terdapat keraguan dalam keterangan pengasuhnya.

"Polis kemudian membawa pengasuh berkenaan ke rumahnya sebelum ditunjukkan lokasi mayat bayi itu disimpan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Nakhoda, sebentar tadi.

Ali berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya sudah menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun.

"Mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," katanya. - BHarian.

Related Posts

Load comments