Pihak berkuasa mengesahkan dalam tragedi bot karam di Phuket, 41 terkorban dengan 13 daripadanya adalah kanak-kanak.
Pengarah Hospital Vachira Phuket, Chalermpong Sukontapol, berkata: “Daripada 41 pelancong China yang terkorban, lapan adalah kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan, 10 lelaki dewasa dan 18 wanita.”
Pasukan penyelamat meneruskan operasi membawa mayat mangsa sepanjang malam ini dari hospital ke sebuah kuil Buddha.
Pemerintah tentera laut Thailand, Laksamana Muda Somnuk Prempramoj, berkata pasukan penyelamat terpaksa menangguhkan rancangan mengangkat bot Phoenix yang karam akibat cuaca buruk Khamis lalu, berikutan cuaca buruk dengan ombak besar.
Ketika kejadian bot berkenaan membawa 105 orang, termasuk 93 pelancong China dan 12 anak kapal Thailand.
Selain mereka yang terkorban, pihak berkuasa mengesahkan 15 mangsa masih hilang dipercayai terperangkap di dalam bot yang karam serta 49 penumpang selamat.
Penyelam, termasuk 17 orang dari China merancang mengambil mayat dari bot berkenaan hari ini (Ahad) namun dibatalkan berikutan cuaca buruk.
Pesawat dan kapal meluaskan kawasan carian dari Phuket sehingga ke Pulau Phi Phi dan wilayah Phang Nga. Pasukan pencari juga menjelajah pantai bagi mengesan kemungkinan mayat hanyut.
Polis sebelum ini menyatakan kapten bot berkenaan akan didakwa kerana cuai yang membawa kepada kerosakan, kecederaan dan kematian. Kapten berkenaan menafikan semua tuduhan.
Bot itu karam di Laut Andaman dekat pantai Ko He yang popular dengan pengembaraan sehari dari Phuket.
Banyak pihak mempersoalkan kenapa bot berkenaan tetap belayar ketika cuaca buruk. - Reuters
Related Posts
Load comments