Sinopsis Memori Pajeri Nanas

Memori Pajeri Nanas

Filem TV terbaru di Astro First Eksklusif berjudul Memori Pajeri Nanas bakal menampilkan gandingan hebat Alif Satar, Tiz Zaqyah dan Siti Saleha. Telefilem karya Aidilfitri Mohamed Yunos ini menggabungkan kisah perkahwinan dan cinta kepada masakan. Saksikan ‘Memori Pajeri Nanas’ mulai 20 Julai 2017 di Astro First Eksklusif (saluran 480) dengan langganan serendah RM 15.90 untuk tontonan dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

JUDUL : MEMORI PAJERI NANAS
TARIKH TAYANGAN : 20 Julai 2017 
SIARAN : Astro First Eksklusif (Saluran 480) 
PENGARAH : Aidilfitri Mohamed Yunos
TERBITAN : TSAR Asia Sdn Bhd
PELAKON : Alif Satar, Tiz Zaqyah, Siti Saleha

SINOPSIS MEMORI PAJERI NANAS
Mengisahkan Chef Armand (Alif Satar) begitu dikenali dengan resipi makanan hebat beliau. Sajian tradisional yang disediakan acap kali menjadi hidangan pilihan pengunjung di restoran-restoran terkemuka di ibu kota. Setiap satu air tangan beliau berjaya memenangi hati penggemar makanan sehinggakan mereka berkehendakkan lebih pilihan menu dari Chef Armand. Semuanya dilihat sempurna pada diri Armand. Seorang tukang masak yang hebat, bekerjaya, muda, dikurniakan seorang isteri yang cantik dan keluarga yang berlatarbelakangkan orang baik-baik.

Namun begitu, itu adalah sekadar luaran dan tidak mencerminkan apa yang terbuku di hati Armand. Armand mula kehilangan sentuhan masakannya. Mahligai perkahwinan yang dibina antara Armand (Alif Satar) dan Kayla (Tiz Zaqyah) dilihat mula goyah apabila kedua-dua mereka terlampau sibuk dengan kerjaya masing-masing. Armand merupakan seorang Chef dan perunding makanan untuk restoran-restoran terkemuka di Kuala Lumpur. Manakala isterinya, Kayla pula merupakan seorang wanita berkerjaya yang sentiasa sibuk dengan tugas di pejabat (agensi pengiklanan). Tuntutan tugas menjadikan kedua-dua mereka sentiasa berada di dalam keadaan tertekan sehinggakan tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama. 

Pelakon Memori Pajeri Nanas
Armand dan Camelia
Keadaan dilihat menjadi semakin keruh apabila Kayla terdengar perbualan telefon di antara Armand dan kawan baiknya, Camelia (Siti Saleha) yang turut merupakan bekas teman wanita Armand. Kayla mulai cemburu dan hubungan mereka semakin berantakan sehinggakan beliau ingin berpisah dari Armand.

Armand ternyata tidak ingin mengaku kalah dan beliau mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan kembali perkahwinan yang dibina ini. Pendekatan beliau adalah menerusi masakan-masakan tradisional yang dihidangkan kepada Kayla ketika berbuka puasa.

Sepanjang 30 hari Ramadan, Armand meminta Kayla untuk pulang ke rumah dan berbuka puasa bersama dengan hidangan yang disediakan khas olehnya. Kayla bersetuju dengan syarat yang diberikan Armand dan jika cubaan ini gagal, Kayla tetap dengan keputusannya untuk berpisah dengan Armand.

Dalam pada itu, Armand dilihat sentiasa bertemu dengan Camelia untuk membantu beliau dengan masakan yang disediakan. Camelia juga merupakan seorang Chef dan memiliki sebuah restoran di pusat bandar.

Pada masa yang sama, Camelia turut menasihati Armand akan cara-cara untuk memenangi hati isterinya kembali. Namun begitu, perjumpaan tersebut telah di salah-ertikan oleh Kayla dan beliau merasakan perkahwinan ini adalah sia-sia dan tidak lagi dapat diselamatkan.

Kayla kemudiannya membuat keputusan untuk keluar dari rumah, meninggalkan Armand dan membawa diri ke luar negara. Armand masih lagi tidak mengalah. Beliau menyediakan masakan kegemaran Kayla, pajeri nanas dan berkejaran ke lapangan terbang untuk sekali lagi memujuk hati Kayla.

Berjayakah Armand memenangi kembali hati Kayla?

LAGU TEMA / OST 
Lagu : Sampai Hati
Penyanyi : Athia Haron 
YouTube : https://youtu.be/z-GrgAynZx0

Related Posts

Load comments